Meizu MX6 dilancarkan secara rasminya pada hari ini di Beijing. MX6 dibina sepenuhnya logam (metal unibody) dengan ketebalan 7.25mm serta jalur antena yang lebih baik daripada Meizu Pro 6. Seperti yang dijangkakan, ia hadir dengan paparan dari Sharp bersaiz 5.5' dengan kemampuan resolusi 1080p disaluti kaca 2.5D.

Peranti MX6 ini dikuasakan oleh cip Helio X20 dengan pemproses sepuluh teras atau deca-core (2x A72@2.3GHz, 4x A53@2.0GHz, 4x A53@1.4GHz), Pemproses grafik (GPU) Mali T880MP4. Walau bagaimanapun, peranti Pro 6 sebelum ini mempunyai teras A72 lebih laju dan GPU lebih baik.

Kamera utamanya menarik kerana menggunapakai sensor 12MP Sony IMX386 1/2.9", saiz piksel 1.4um, lensa f/2.0, phase-detection AF serta flash dual-tone. Meizu dipetik mengatakan ia menawarkan kualiti rakaman seumpama Galaxy S7 melalui peranti MX6 ini.

Lain-lain spesifikasi ialah storan 32GB, kamera selfie 5MP, sokongan dua SIM, LTE Cat.6 dan bateri 3060 mAH dengan keupayaan pengecajan pantas 24W.

Meizu MX6 hadir dengan antaramuka Flyme OS berteraskan Android Marshmallow dan ditawarkan dengan tiga warna menarik iaitu Kelabu, Emas serta Perak. Buat masa ini, Meizu MX6 yang berharga CNY1,999 (~RM1,198) hanya akan dijual di China dan pihak Meizu masih belum mengemukakan tarikh jangkaan untuk pasaran global ketika artikel ini ditulis.